WEB LOG

Published on

Arena Pentas 2017 Review By Nadiputra Al Mahdi

Picture

reviu

CAKAP KOSONG
persembahan
Pentas Karyawan
Politeknik Republik
11 - 13 Januari 2017
Studio 2, Politeknik Republik

Cakap Kosong, persembahan Pentas Karyawan, Politeknik Republik tidak kosong. Lima drama pendek “Selamat Tinggal” tulisan/arahan: Nurfareena Md Noor, lakonan Aizatul Azerina Sazali, Nur Asfarina Ishak, Nur Diyanah Ahmad Khalifa dan Nurfareena Md Noor, “Cerita Calar Dia” tulisan/arahan: Siti Khalisah Khair, lakonan Siti Khalisah Khair, Nuri Haqirah Hazmi serta Siti Hajar Zahid, “Kongsi” tulisan/arahan: Nur Munirah Abdul Monir lakonan Nur Munirah Abdul Monir,  Nur Zuhairah Anuar dan Muhammad Shalihin sementara,  “Perkenalan” karya/arahan Aliff Shah Ramli, lakonan Muhammad Shalihin dan Siti Umairah Md Nor serta “Tumpang” tulisan/arahan: Nur Diyanah Ahmad Khalifa Lakonan: Seri Mustika Md Nor, Nur Syafiqah Kamarudin menepati sasaran pembimbing dramanya Anwar Hadi.

Percubaan mendedahkan para pelakon berdepan dengan penonton yang terang benderang mengelilingi gelanggang lakonan empat persegi, mencabar para pelakon berdepan dengan wajah-wajah penonton yang melihat kesan lakonan mereka mentafsir naskah yang ditulis dan diarahkan mereka sendiri.  Tiada sorotan lampu istimewa kecuali kesan bunyi dan lagu latar membantu rangsangan para pelakon.

Kelima-lima naskah yang ditulis menarik dan berbeza antara satu sama lain. Ia tidak terpengaruh dengan kelaziman penceritaan yang sering kita lihat.  Kisah perkenalan menerusi komputer riba (Perkenalan), pertemuan pemandu teksi dengan makhlok halus (Tumpang), pengalaman seorang banduan (Kongsi), kemelut bunuh diri (Selamat Tinggal) dan pengalaman pahit yang menghantui (Cerita Calar Dia), setiap satu diberi pendekatan, olahan yang menarik.  Peralatan paling mudah dan ringkas menepati daya pemikiran dan perlambangan kreatif yang menasabah dan  dapat diterima penonton. Para pelakon terjemahkan dengan bijak fungsi kerusi, kain berwarna sebagai lambang-lambag duri kehidupan, pertalian hidupan masa lampau, teksi dan seumpamanya. Amat kreatif. 

Mewujud, memuncak dan menyudahkan sebuah naskah yang lengkap dalam tempoh 10 minit bukan mudah.  Maka kebanyakan naskah yang dipaparkan terhambat dengan kronologi kejadian, yang keseluruhannya dikupas melalui katabual dari kekuatan para pelakon menterjemah perasaan, perkembangan cerita dan perlambangan seadanya.

Membiasakan para pelakon berdepan dengan penonton yang dilihat jelas dan amat dekat menguji daya pemusatan pelakon terhadap watak, kelancaran katabual dan pengawalan gerak-laku dramatik untuk menangani cabaran pemusatan tajam penonton terhadap setiap olah laku, olah katabual dan olah seni setiap pelakon.  Syabas, tiap pelakon tidak tergugat dengan jarak dekat penonton yang tajam melihat mereka beraksi.

Namun seperkara yang agak ketara dan boleh dihalusi ialah katabual para pelakon remaja.  Tidak semua, tapi kebanyakan kataual kurang kepelbagaian, penekanan terhadap inti perasaan atau makna setiap ayat atau kelompok ayat-ayat yang dibualkan.  Ramai pelakon tidak diberi pengkyususan oleh pengarah tentang analisa katabual yang harus diberi rentak, tempoh, kenjut kesah serta lenggok sedih, muram dan unsur jenaka yang merupakan asam garam ‘hiburan teater’ yang boleh diniikmati oleh penonton, seperti merasa seram, cemas, lucu, marah dan seumpamanya.  

Namun persembahan “Cakap Kosong” berjaya digembeling pembimbing teater  Politeknik Republik Anwar Hadi untuk menjana satu peningkatan dan perkembangan teater mutakhir.   Pemupukannya yang sihat dan merangsang, jelas dihasilkan oleh anak buahnya dalam melahirkan sendiri lima karya teater pendek yang dekat dengan corak, citarasa pemain teater remaja dewasa ini. Penggunaan bahasa Melayu yang baik satu petanda baik ia masih terus kekal diperkasakan para pelajar. Saya yakin melalui drama-drama yang ditonjolkan, Anwar Hadi tentu berperanan memastikan kepentingan memelihara penggunaan bahasa Melayu dalam teater dengan sebaiknya.

Tahniah Pentas Karyawan - tiap tahun ada saja kelainan yang diketengahkan. Anda semua tidak tandus dengan kesegaran berteater.

Thank you Encik Nadi for the review.



0 Comments