WEb Log
Untuk penulisan blog saya, bagi kumpulan penulisan-penulisan pengetahuan am kali ini, saya akan menulis menggunakan Bahasa Melayu. Walaupun secara zahirnya, saya menaip dan bukan menulis, tapi saya akan tetap gunakan istilah “menulis” dan “penulisan”. Anda boleh membacanya dengan menggunakan loghat Singapura, iaitu loghat Johor Riau. Saya tidak menulis dengan ejaan seperti “aper” “kenaper” “biler” “kite” dan seandainya, sebab ejaan sebegitu tidak pernah wujud secari rasmi. Namun begitu, anda masih boleh menyebut perkataan “apa”, “kenapa”, “bila”, “kita” dan seandainya menggunakan loghat Riau tanpa terasa terkongkong dengan ejaannya, kerana ejaan dan sebutan loghat tidak pernah berkait. Sepertimana dahulu saya di sekolah, kita tidak pernah ada masalah ini sebelum sebutan baku dikuatkuasa. Dan pada masa itu juga, walaupun sebodoh mana kitapun dalam mata pelajaran yang lain, mata pelajaran Bahasa Melayulah yang akan memeberikan kita markah tertinggi. Tidak ada “ape-ape”, tidak ada baku. Jadi kita tidak pernah ada masalah dengan ejaan. Perkara yang ingin saya perkatakan dalam penulisan kali ini ialah tentang “Bulan”. Semenjak ada media sosial pada zaman ini, macam-macam benda yang dapat kita lihat. Sudah beberapa kali saya terlihat gambar bulan tapi saya tidak berkata apa-apa. Tapi hingga ke hari ini, ia terlalu kerap sehingga saya rasa saya patut berkongsi tentang pengetahuan am ini. Kenapa dengan bulan? Yang saya ingin ketengahkan ialah tentang bulan di siang hari. Ramai yang sudah melihat dan meletakkan gambar bulan di siang hari di media sosial mereka. Ramai yang kepelikan. Ramai juga yang menyahut dengan kekata-kekata yang memelikkan. seperti: “sudah hampir kiamat” “musim panas sudah tiba” “musim monsoon akan tiba” “kuasa tuhan akhir zaman” “putaran alam sudah rosak” dan sebagainya...... Rata-ratanya, ramai yang tidak pernah melihat bulan di siang hari atau memikirkan bahawa bulan hanya timbul pada waktu malam sahaja. Bukan akhir zaman, bulan di siang hari sudah ada sejak permulaan zaman. Bulan berputar mengelilingi bumi dan mengambil masa sebulan untuk membuat satu putaran. Bumi pula berputar diatas paksinya dan mengambil masa 24 jam untuk satu putaran. Jadi dari itu, kita akan tetap dapat melihat bulan sepanjang hampir 24 jam bergantung pada tempat kita berada dan juga kedudukan bulan pada waktu itu. Oleh sebab ini, kita dapat melihat bentuk bulan yang berbeza-beza pada setiap hari kerana kedudukan bulan ketika ia mengelilingi bumi sentiasa bergerak dan akan hanya ada pada tempat yang sama sekali dalam sebulan. Ia juga berputar di atas paksinya sendiri dan ini menyebabkan kita untuk hanya dapat melihat setengah permukaannya sahaja dari bumi. 24 jam? Jadi siang hari pun ada bulan? Ya. Sentiasa ada. Tetapi kerana bumi juga berputar, dan jika kita duduk di tempat yang sama di bumi, terutama kita di Singapura yang berkedudukan dekat dengan garisan khatulistiwa, kita hanya dapat melihat bulan selama lebih kurang 12 jam sehari. Di sini saya letakkan jadual bulan terbit dan terbenam bagi bulan Ogos 2021. Sila baca. Masa di sini menggunakan cara 24 jam. Bererti 00:00 adalah jam 12 pagi. 13:00 adalah jam 1 tengahari. Jadi bulan tidak terbit pada waktu malam sahaja. Anggaran masa terbitnya adalah lebih kurang lewat satu jam pada setiap hari dan ia berputar dengan masa begitu setiap satu bulan. Jika ada yang terlupa, bulan juga seperti matahari, akan terbit di timur dan terbenam di ufuk barat. Pada 9 haribulan Ogos, bulan akan terbit pada 7:34 pagi dan akan terbenam pada 8:02 malam. Tetapi ia adalah bulan sabit dan mungkin agak sukar untuk dilihat di siang hari kerana terlalu halus. Pada 15 haribulan Ogos, bulan akan terbit pada 12:30 tengahari dan akan terbenam pada 12:52 malam. Mungkin ini lebih mudah untuk dilihat kerana ia adalah bulan setengah. Dan begitulah putarannya setiap bulan sehingga hari kiamat. Boleh gunakan Google dan masukkan kekata “moonrise time Singapore” untuk mengetahui lebih tentang maklumat dan pengetahuan am ini. Juga boleh lungsuri lelaman ini: https://www.timeanddate.com/worldclock/singapore/singapore Lelaman ini ditulis menggunakan bahasa Inggeris. Namun begitu, saya yakin bahawa lelaman ini tidak memberikan maklumat dari anasir-anasir yang cuba menyesatkan pemikiran dan akidah saya. Categories : The General Knowledge Series
0 Comments
Leave a Reply. |
HelloWeb logs of art activities on a regular basis (hope). Archives
June 2024
Categories
All
|
Proudly powered by Weebly